DUNGUN, 27 Jan — Kerajaan negeri Terengganu komited untuk membawa masuk lebih banyak projek loji jana kuasa solar berskala besar (LSS) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek berkenaan dapat memberi hasil kepada kerajaan negeri menerusi keuntungan pajakan tanah kepada syarikat swasta selain boleh memanfaatkan kawasan tanah terbiar.
“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tanah yang tidak diguna dan terbiar, selain daripada untuk tujuan pertanian, penempatan rakyat dan perindustrian, dapat digunakan untuk penjanaan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Large Scale Solar 29.99 MWac Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Paka di sini, hari ini.
Katanya walaupun secara kasar kos untuk membangunkan sistem solar lebih tinggi, namun ia mampu memberi pulangan yang berlipat kali ganda kepada negara dalam bentuk pemuliharaan alam sekitar yang semakin terancam.
“Ini adalah antara langkah kerajaan untuk merangsangkan ekonomi dan juga mengurangkan jejak karbon negara dan ia juga bertujuan merancakkan pembangunan industri pembekalan elektrik negara khususnya industri TBB,” katanya.
Sementara itu Pengarah Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd, Datuk Seri Ong Ah Hwa berkata pihaknya sangat berbesar hati kerana projek berkenaan menyumbang kepada inisiatif murni kerajaan dalam mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida demi memelihara lapisan ozon.
“Bagi memastikan projek ini berjalan lancar kami melabur lebih RM15 juta untuk naik taraf kondisi tanah yang asalnya adalah kawasan paya yang rendah.
“Tapak tanah ini akan dipulangkan selepas 21 tahun (tempoh pajakan) dan tapak ini kemudiannya dapat diguna pakai untuk tujuan pembangunan lain,” katanya.
Ong berkata lebih 70 peratus tenaga kerja mahir bagi projek bernilai RM180 juta itu merupakan penduduk tempatan.
“Projek solar ini dapat memberi banyak impak positif dari segi keuntungan, meningkatkan nilai tanah serta menambah peluang pekerjaan,” katanya yang berharap dapat mengambil bahagian dalam lebih banyak pembangunan projek solar di Terengganu pada masa hadapan.
Sumber — BERNAMA